
- Apakah Coronavirus
Coronavirus (CoV)
adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan.
Terdapat beberapa jenis coronavirus seperti severe acute respiratory syndrome
coronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus
(MER-CoV). Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Novel
Coronavirus 2019 (COVID-19).
Jangkitan coronavirus menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa
kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk
- Bagaimanakah COVID-19 merebak
Cara penularan
COVID-19 daripada individu kepada individu lain adalah melalui titisan dari
hidung atau mulut yang tersebar apabila seseorang dengan COVID-19 batuk atau
bersin. Titisan ini merentasi objek dan permukaan di sekelilingnya. Orang lain
kemudian mendapat jangkitan COVID-19 dengan menyentuh objek atau permukaan ini,
kemudian menyentuh mata, hidung atau mulutnya. Sesorang itu juga boleh
dijangkiti COVID-19 jika mereka berada dekat dengan pesakit COVID-19 yang batuk
atau bersin atau melepaskan titisan. Itulah sebabnya penting untuk mengekalkan
jarak lebih dari 1 meter (3 kaki) dari orang yang sakit.
KKM kini sedang mengawasi perkembangan jangkitan ini dan situasi sentiasa
berubah dan akan mengemaskini maklumat penyakit ini dalam laman sesawang KKM
dari semasa
ke semasa. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan
kebersihan diri yang baik.
- Sekiranya saya memakai penutup mulut dan hidung atau N95, adakah ianya membantu untuk mengurangkan penularan COVID-19?
Pemakaian penutup mulut
dan hidung surgical atau 3-ply face mask adalah disyorkan kerana ia membantu
mengurangkan penyebaran virus dan lebih praktikal untuk digunakan oleh orang
awam. Ia bagi menghalang pendedahan orang lain kepada titisan dan percikan air
liur orang yang memakai penutup mulut dan hidung ini.
Namun penutup mulut dan hidung N95 tidak disyorkan kerana ia lebih ketat dan
boleh menyebabkan pemakainya berasa sukar untuk bernafas. Ianya lebih sesuai
diguna pakai oleh anggota kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti
kesihatan.
- Apakah gejala-gejala radang paru-paru (pneumonia) COVID-19?
Gejala radang paru-paru (pneumonia) COVID-19 adalah demam, batuk dan sukar bernafas.
- Saya mempunyai gejala batuk dan hidung berair. Saya baru balik dari mengembara ke negara-negara yang terdapat kes pneumonia disebabkan jangkitan COVID-19. Perlukah saya pergi ke klinik swasta atau adakah saya perlu pergi ke Jabatan Kecemasan & Trauma hospital Kerajaan?
- Anda hendaklah berjumpa doktor segera jika mempunyai gejala
demam, atau jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan hidung berair. Sila
dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat dan pakai penutup mulut dan
hidung (surgical mask) apabila
anda ke sana.

- Apakah rawatan untuk jangkitan COVID-19?
Sehingga kini, tiada rawatan khusus atau ubat antivirus untuk jangkitan
COVID-19. Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami
pesakit.
- Adakah penyakit jangkitan COVID-19 ini boleh menyebabkan kematian? Apakah pebezaannya dengan SARS?
COVID-19 ini berpotensi menyebabkan penyakit
yang teruk dan kematian, terutamanya dalam kalangan orang tua dan orang yang
mempunyai masalah kesihatan atau sistem imun yang rendah.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri terperinci virus ini belum diketahui dan boleh
berubah dari semasa ke semasa.
- Apakah langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19?
Pengembara ke negara yang mempunyai kes
COVID-19 dan selepas pulang ke Malaysia adalah diingatkan untuk sentiasa
mengamalkan langkah-langkah berikut:
• Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa seperti kerap mencuci
tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
• Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta hand
sanitizer untuk digunakan apabila perlu semasa dalam tempoh lawatan;
• Elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan
mana-mana individu yang bergejala semasa dalam tempoh lawatan;
• Elakkan daripada melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup,
tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan semasa dalam
tempoh lawatan; dan
• Elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak
dengan sempurna semasa dalam tempoh lawatan.
- Rakan sekerja / rakan sekelas / kawan saya melancong ke negara yang mempunyai kes COVID-19. Apabila mereka kembali, adakah mereka perlu mengasingkan diri mereka?
Mereka akan disaring di Pintu Masuk
Antarabangsa Malaysia. Sekiranya dikesan demam dengan gejala jangkitan
pernafasan, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.
Sekiranya mereka sihat dan tidak bergejala, mereka akan diberi Home Assessment
Tool serta Health Alert Card (Lampiran1). Meraka dinasihatkan untuk tinggal di
rumah dan perlu mengawasi kesihatan mereka selama 2 minggu. Sekiranya
bergejala, segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan dengan membawa
bersama Health Alert Card.
- Apakah peranan agensi pelancongan dalam mengawal penularan jangkitan COVID19?
Agensi pelancongan
diminta untuk memaklumkan mengenai situasi terkini kejadian wabak penyakit
COVID-19 dan nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh KKM kepada pekerja
masing-masing dan pelanggan yang ingin ke negara yang mempunyai kes COVID-19
dari
semasa ke semasa iaitu:
• Menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan diri dari melawati negara China
sehingga dimaklumkan kelak.
• Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan
dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.
• Sekiranya lawatan ke negara yang mempunyai kes COVID-19 tidak dapat dielakkan
semasa di sana:
Ø Elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan tidak
bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;
Ø Elakkan daripada melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual
haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan; dan
Ø Elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak
dimasak dengan sempurna.
• Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami
gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran
untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang ke tanah air.
• Pengembara yang datang dari negara yang mempunyai kes COVID-19 perlu
dimaklumkan keperluan mengisytiharkan status kesihatan sebelum tiba ke
Malaysia. Selain itu prosedur keperluan menjalani perintah Pemantauan dan
Pengasingan serta isolasi sekiranya bergejala perlu dijelaskan kepada pelanggan.
• Memperkasakan pihak agensi dan persatuan pelancongan untuk membuat saringan
demam ke atas pengembara dan merujuk mereka ke fasiliti kesihatan terdekat
untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
• Pihak agensi pelancongan dan pengurusan fasiliti penginapan dinasihatkan
untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran termasuk
menjalankan disinfeksi.
- Apakah tindakan KKM dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit COVID-19 ini?
KKM telah memantau
situasi wabak jangkitan COVID-19 ini secara harian melalui sumber-sumber yang
sahih sejak 10 Januari 2020, di samping menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:
i. Membuka Bilik Gerakan COVID-19;
ii. Menyediakan dan mengeluarkan kenyataan akhbar memaklumkan
kepada orang ramai mengenai situasi terkini wabak ini;
iii. Membuat saringan gejala di pintu-pintu masuk antarabangsa Malaysia;
iv. Membuat saringan gejala di fasiliti kesihatan, membuat rujukan dan isolasi
kes di hospital-hospital terpilih;
v. Menjalankan pemantauan kontak di rumah atau tempat-tempat pengasingan yang
termaktub dalam Perintah Pemantauan dan Pengasingan;
vi. Meningkatkan kapasiti isolasi di hospital;
vii. Memantapkan kemampuan dan keupayaan makmal dalam menjalankan ujian pengesanan
virus ini;
viii. Menjalankan latihan kepada kakitangan kesihatan khususnya penggunaan alat
pelindung diri (PPE) yang betul;
ix. Memastikan stockpile PPE dan ubat-ubatan bagi merawat gejala dan komplikasi
mencukupi; dan
x. Meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan virus
COVID-19 ini melalui media sosial dan media cetak.
- Orang ramai boleh
menghubungi Bilik Gerakan KKM di talian 03 – 8881 0200 / 0600 / 0700 emel ke
cprc@moh.gov.my dan Whatsapp ke 010-969 9435 untuk sebarangpertanyaan. Selain
itu Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing juga boleh dihubungi
- Siapakah golongan berisiko tinggi?
Orang ramai terutama
golongan berisiko tinggi dinasihatkan untuk menghadkan lawatan ke hospital
terutamanya bagi urusan tidak penting (non-essential). Langkah ini bagi
mengekang penularan jangkitan COVID-19 di hospital. Golongan berisiko adalah:
• Kanak-kanak;
• Warga emas berusia 65 tahun ke atas;
• Pesakit dengan penyakit kronik;
• Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah; dan
• Wanita hamil.
Penting – (Jangan melawat pesakit di hospital sekiranya anda demam atau
mengalami
selesema dan batuk)
- Bagaimanakah pengesanan kontak dilakukan?
Temubual – Semasa di
hospital, pasukan perubatan menyenaraikan lokasi perjalanan Dan kontak pesakit
dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Penyiasatan – Pasukan kesihatan menjejaki kontak pesakit untuk mengesan dan
menyiasat hubungan/interaksi dengan pesakit serta mendapatkan maklumat lanjut.
Mengenalpasti – Keputusan dibuat bagi menentukan individu berkaitan merupakan
kontak rapat/dekat dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.
Sekiranya kontak mengalami GEJALA – beliau akan dirujuk ke hospital untuk
pengasingan dan rawatan lanjut. Sekiranya kontak SIHAT beliau akan menjalani
ujian untuk pengesahan dan diletak di bawah pengawasan di rumah bagi tempoh 14
hari.
- Bolehkah pengambilan sampel COVID-19 di rumah?
Untuk makluman, KKM
telah berkolaborasi dengan pihak swasta bagi perkhidmatan pengambilan sampel
COVID-19 di rumah. Dengan kolaborasi ini, orang awam yang tidak mempunyai
gejala boleh menjalani ujian COVID-19 di rumah tanpa perlu hadir
ke fasiliti kesihatan. Orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan
melawat laman web/memuatnaik aplikasi berkaitan bagi menentukan masa lawatan ke
rumah bagi tujuan pengambilan sampel. Walau bagaimanapun, perkhidmatan
pengambilan sampel COVID-19 ini akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta
berkenaan. Buat masa ini, perkhidmatan ini disediakan oleh pihak swasta seperti
di bawah:
a) Bookdoc;
b) Pantai Premier Pathology Sdn Bhd;
c) Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ);
d) Qualitas Medical Group Sdn Bhd;
e) Gleneagles Kuala Lumpur;
f) Pantai Hospital Kuala Lumpur;
g) Pantai Hospital Cheras;
h) Pantai Hospital Klang;
i) Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka;
j) Twin Tower Medical Centre, KLCC; dan
k) DoctorOnCall
Sila layari laman web syarikat-syarikat tersebut untuk maklumat lanjut. Senarai
syarikat
swasta ini mungkin akan ditambah dari semasa ke semasa.
- Apakah yang perlu dilakukan ketika dibawah pengawasan rumah (Home Surveilance)?
• Sentiasa berada di
rumah, pastikan anda boleh dihubungi setiap masa.
• Hadkan pelawat;
• Senaraikan semua pelawat yang menziarahi anda;
• Amalkan adab batuk yang betul/beretika.Tutup mutut dan hidung menggunakan
tisu apabila batuk atau bersin;
• Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan CUCI TANGAN serta
merta dengan sabun atau hand sanitizer;
• Sentiasa pakai face mask;
• Cuci tangan dengan kerap;
• Elakkan perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri;
• Cuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun pencuci sebelum
digunakan semula; dan
• Buka semua tingkap untuk pengudaraan rumah yang baik.
.
- Senarai Hospital
Rujukan Bagi Mengendalikan Kes Yang Disyaki (PUI) Dan Sahih
COVID-19
· Hospital Tuanku Fauziah 04-9738000
· Hospital Sultanah Bahiyah 04-7406233
· Hospital Sultan Abdul Halim 04-4457333
· Hospital Kulim 04-4272733
· Hospital Sultanah Maliha 04-9663333
· Hospital Pulau Pinang 04-2225333
· Hospital Raja Permaisuri Bainun 05-2085000
· Hospital Raja Perempuan Zainab 2 09-7452000
· Hospital Sultan Ismail Petra 09-9611666
· Hospital Tumpat 09-726 3000
· Hospital Sultanah Nur Zahirah 09-6212121
· Hospital Tengku Ampuan Afzan 09-5133333
· Hospital Sungai Buloh 03-61454333
· Hospital Kuala Lumpur 03-26155555
· Hospital Tuanku Ja‘afar 06-7684000
· Hospital Melaka 06-2892344
· Hospital Sultanah Aminah 07-2257000
· Hospital Labuan 087- 596888
· Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu 088-517555
· Hospital Duchess of Kent, Sandakan 089-248600
· Hospital Tawau 089-983533
· Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas 088-522600
· Hospital Lahad Datu 089-895111
· Hospital Keningau 087-313000
· Hospital Umum Sarawak, Kuching 082-27666609
· Hospital Miri 085-420033
· Hospital Bintulu 086-859000
· Hospital Sibu 084-343333
- Apakah langkah
pencegahan jangkitan COVID-19 di tempat kerja?
Setiap majikan dan pekerja perlu mengamalkan langkah-langkah ini walaupun tiada jangkitan COVID-19 dalam komuniti.
· Pastikan tempat kerja anda bersih dan bebas kuman – Kerap lap permukaan dan alatan dengan bahan disinfeksi.
· Tingkatkan kekerapan dan membasuh tangan dengan betul (20 saat) dalam kalangan pekerja dan pelanggan – Letakkan “hand sanitizer” di tempat yang mudah dicapai di tempat
kerja dan pastikan ia kerap diisi semula.
· Sediakan topeng muka dan tisu di tempat kerja untuk pekerja yang selesema atau berkahak – Sediakan juga tempat lupus tisu yang sesuai.
· Menasihati pekerja untuk dapatkan nasihat perjalanan sebelum melakukan tugas yang memerlukan pekerja bertugas di kawasan yang dilanda wabak
· Beri taklimat kepada pekerja dan pelanggan sekiranya COVID-19 mula berjangkit dalam komuniti sekitar anda dan galakkan kuarantin di rumah jika tidak sihat
- Apakah langkah
pencegahan jangkitan COVID-19 di tempat sekolah?
Pengurusan sekolah perlu melakukan nyahkuman & disinfeksi di permukaan yang mudah dicemari seperti:
Kerusi
Meja
Tombol pintu
Papan kekunci computer
Sekiranya terdapat warga sekolah/pekerja yang disahkan positif COVID-19,
sekolah / pejabat tidak perlu ditutup. Memadai kerap lakukan nyahkuman/
disinfeksi. Pakai penutup hidung & mulut (face mask) sekiranya bergejala,
basuh tangan dengan sabun
dan air atau hand sanitizer. Jarakkan diri sejauh satu (1) meter sekiranya
bergejala dan nampak orang bergejala.
- Apakah langkah
pencegahan jangkitan COVID-19 di pusat beli belah dan kenderaan awam?Pemilik
premis/ kenderaan awam perlu kerap melakukan nyahkuman/disinfeksi permukaan
yang mudah dicemari kuman seperti eskalator dan susur tangan, troli,tombol
pintu, butang lif dan mesin ATM.
· Basuh tangan dengan sabun dan air atau hand senitizer;
· Jarakkan diri sejauh satu (1) meter sekiranya bergejala dan nampak orang bergejala;
· Pengusaha/pemilik kenderaan awam perlu kerap melakukan nyahkuman / disinfeksi pada permukaan yang mudah dicemari seperti pintu, kerusi dan tempat pemegang.
· Pakai penutup hidung & mulut (mask) jika bergejala.
- Isu berkaitan
kekurangan penutup hidung & mulut (mask) ketika COVID-19?
Isu kekurangan bekalan topeng mulut dan hidung di pasaran seluruh negara akan dibincang pada mesyuarat kabinet, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Rosol bin Wahid mengakui pembelian secara panik berikutan kebimbangan orang ramai kes penularan COVID-19 menjadi punca utama
berlakunya kekurangan bekalan. Siasatan dilakukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada aktiviti menyorok topeng mulut dan hidung bertujuan untuk menaikkan harga oleh
pemborong serta peniaga barangan berkenaan. “Pegawai dan anggota KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan serta pemantauan, di mana tindakan akan dilakukan
jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga produk itu.
“Kerajaan sudah mengisytiharkan bahawa topeng berkenaan adalah barang kawalan dan tindakan menaikkan harga boleh dikenakan tindakan,”
- Apakah yang
dimaksudkan dengan perintah kawalan pergerakan ketika COVID-19?
Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai
rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.
Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;
· Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai
di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk
menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaanhendaklah
ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka
yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan
semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah
selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah
bersidang pada 15 Mac 2020.
· Kedua, sekatan
menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru
pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan
melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama
14 hari;
· Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
· Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
· Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan
· Keenam, penutupan
semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan
penting negara (atau essential services) iaitu air,elektrik,tenaga,
telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api,pelincir,
penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara,
pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan
dan bekalan makanan
Sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, orang awam boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03- 88882010 atau ikuti Telegram & Facebook Majlis Keselamatan Negara untuk perkembangan
SUMBUR : KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Leave a Reply